Dalam bab ini Imam al-Bukhari membawa hadits yang menjadi dalil kepada ijtihadnya iaitu seorang perempuan dibenarkan mendiami atau duduk dalam masjid
Oleh kerana tidak ada hadits yang menunjukkan larangan untuk perempuan tersebut berada dalam masjid ketika dalam keadaan haidh, maka ulama`-ulama` termasuk Imam al-Bukhari menjadikan hadits ini sebagai dalil keharusan perempuan untuk berada di dalam masjid secara mutlak, ya`ni sama ada dalam keadaan haidh ataupun tidak.
Ini adalah kerana mereka berpegang dengan kaedah fiqh (الأصل في الأشياء الإباحة) dan kaedah ini juga yang dipegang oleh Imam Bukhari.
Selain dari Imam Bukhari dan orang-orang yang sependapat dengannya, ada beberapa ulama` lain yang berpendapat sebaliknya, yang menunjukkan terdapat khilaf dalam masalah ini. Pendapat-pendapat dalam hal ini boleh disimpulkan sebagaimana berikut:
1) Imam Malik berpendapat bahawa tidak harus secara mutlak bagi orang-orang perempuan (walaupun bagi mereka yang sudah tua) untuk tidur di dalam masjid, sama ada mereka berhaidh atau pun tidak.
Alasannya ialah kerana untuk mengelakkan fitnah kerana pepatah `Arab mengatakan (لكل ساقطة لاقطة ) bermakna; “setiap yang gugur ada yang memungutnya”.
2) Imam Abu Hanifah, Imam Shafi`e dan Imam Ahmad dan jumhur ulama` pula berpendapat harus orang perempuan tidur dalam masjid dalam keadaan tidak berhaidh tetapi khilaful aula [ ya`ni tidak elok, yang lebih elok tidur di tempat lain (Nota: khilaful aula bukan bermakna makruh tetapi ianya lebih ringan daripada makruh)]
Mereka juga berpendapat tidak harus berada dalam masjid ketika dalam keadaan haidh.
3) Daud az-Zohiri, al-Muzani (anak murid Imam as-Syafi`e) dan Ibnu Hazam berpendapat harus tidur dalam masjid secara mutlak sama ada dalam keadaan haidh ataupun tidak.
Dalam masalah Imam Bukhari ini sependapat dengan mereka.